Ashraf Muslim Enggan Komen Isu Kahwin Dua

Ashraf Muslim Enggan Komen Isu Kahwin Dua - SEBUAH forum gosip hiburan popular di internet mengeluarkan satu dakwaan bahawa pelakon yang dahulunya pernah popular menerusi drama Manjalara, Ashraf Muslim, telah berkunjung ke sebuah mahkamah syariah baru-baru ini.

Tujuannya adalah untuk membuka sebuah fail mendapatkan kebenaran berkahwin dua dengan kelulusan isteri pertama.

Susulan dengan dakwaan terbabit, timbul desas-desus mengatakan punca tindakan Ashraf, 32, mahu berkahwin lain disebabkan tiada zuriat dengan isteri pertamanya, Noor Dayana.

Perkahwinan pasangan itu hampir memasuki usia tiga tahun setelah diijabkabulkan pada 30 Ogos 2011 di Tanah Suci, Mekah.

Kosmo! mendapatkan pengesahan dan keterangan lanjut daripada pelakon filem Aku Masih Dara itu berhubung isu terbabit. Ikuti temu bual bersama Ashraf ketika dihubungi menerusi telefon baru-baru ini.

Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Ashraf telah pergi ke sebuah mahkamah syariah untuk membuka fail kebenaran berkahwin dua dengan kelulusan isteri pertama?

ASHRAF: Saya ada ke sana tapi saya tidak boleh komen lanjut atas sebab apa.

Adakah benar dakwaan rumah tangga Ashraf kini bergolak sehingga menyebabkan Ashraf berkahwin lain?

Saya tidak perlu cakap. Memang ada isu tapi saya tidak boleh cerita sekarang.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan terbabit?

Tiada komen!

Bagaimanakah kehidupan peribadi Ashraf bersama keluarga sekarang?

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan tiada sebarang masalah.

Adakah sebarang khabar gembira daripada Ashraf mengenai cahaya mata?

Buat masa sekarang belum ada rezeki lagi. Kami ada berikhtiar menerusi kaedah perubatan moden dan tradisional tapi belum rezeki kami.

Semakin kurang dilihat di kaca televisyen atau layar perak, adakah Ashraf sudah nekad untuk bersara daripada dunia lakonan?

Berdakwah itu ada banyak cara dan Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan berlakon. Saya mendapat banyak tawaran tapi terpaksa tolak kerana saya mempunyai prinsip. Prioriti saya adalah kehidupan saya sekarang untuk mengubat orang sakit.

Bercerita mengenai dunia lakonan yang bukan lagi menjadi prioriti Ashraf, adakah anda terkilan sekiranya masih ada naskhah lakonan anda sebelum ini yang mungkin kurang sopan disiarkan di televisyen berulang kali?

Ada antara lakonan lama saya boleh menjatuhkan aib saya tapi saya kena terima perkara yang sudah berlaku dan saya tiada kuasa untuk menghalangnya. Sepatutnya stesen televisyen tidak boleh mengeluarkan drama atau program yang agak berbahaya bagi saya dan boleh mendatangkan syak wasangka kepada pesakit saya.

Adakah Ashraf terkilan dengan tindakan sesetengah stesen televisyen yang tidak menghormati pendirian anda dan beberapa rakan artis yang telah berhijrah?

Saya reda tapi saya berharap stesen televisyen menghormati pendirian saya. Saya tidak berapa berminat kalau stesen TV mengeluarkan drama atau filem lakonan saya yang tidak betul.

Ashraf sudah lama menyepi daripada industri seni, sudi kongsikan perkembangan terbaharu sekarang?

Saya sibuk menguruskan klinik dan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah milik saya setiap hari. Selain itu saya turut menguruskan sebuah produksi iaitu Al-Hidayah Production dan telah menerbitkan dua buah drama sebelum ini iaitu Aku Bukan Haji dan Surat Untuk Dia. Selepas ini akan ada drama terbaharu daripada produksi saya yang sedang diusahakan. – Kosmo

Ashraf Muslim Enggan Komen Isu Kahwin Dua