Hantu Cabul Dua Gadis

Hantu Cabul Dua Gadis - KUANTAN : Dua lelaki warga asing, masing-masing berasal dari Nepal dan Bangladesh ditahan kerana menyamar sebagai hantu di `rumah hantu dan mencabul dua gadis yang mengunjungi Karnival Jom Heboh di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini, tengah hari kelmarin.

Mereka yang berumur dalam lingkungan 30-an itu ditahan dalam dua kejadian berasingan.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa berusia 20 tahun yang mengunjungi Karnival Jom Heboh memasuki rumah hantu itu untuk melihat pameran menyeramkan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata pada masa sama, suspek warga Nepal yang kebetulan berada dalam rumah hantu itu menyamar sebagai hantu sebelum memeluk mangsa dari belakang dengan tujuan menakutkan gadis terbabit.

Katanya, akibat terkejut dipeluk lelaki terbabit, mangsa menjerit ketakutan dan meminta pertolongan pengunjung Karnival Jom Heboh sebelum berjaya memberkas suspek.

“Mangsa mendakwa tidak menyedari kehadiran suspek terbabit dari arah belakang dan meronta melepaskan diri sambil menjerit meminta tolong pengunjung lain sebelum suspek berjaya diberkas,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian kedua, katanya, seorang lagi gadis turut menjadi mangsa tetapi suspek kali ini lelaki warga Bangladesh.

Katanya, suspek terbabit bertindak memegang dada mangsa ketika gadis berkenaan sedang berjalan dalam rumah hantu.

“Mangsa yang terkejut apabila dicabul lelaki terbabit, menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek ketakutan dan cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, dia berjaya diberkas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan dalam kejadian itu akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – paapaada.blogspot

Hantu Cabul Dua Gadis