Imej Baru Ras Adiba Membaca Berita

Pembaca berita televisyen saluran NTV7, Ras Adiba Radzi tampil dengan imej baru ketika membaca berita.

Ras Adiba telah memakai skaf di kepalanya seperti turban bagi menutup kepalanya yang tidak mempunyai rambut ketika bersiaran secara langsung dalam berita NTV7.

Bulan lalu, Ras Adiba telah mencetuskan kontroversi dengan memotong rambutnya pendek seperti botak kerana menunjukkan tanda sokongannya kepada Kempen Jom Botak anjuran Majlis Kanser Negara (MAKNA).

Namun, Ras Adiba tidak melihat tindakan itu sebagai salah dan dengan tegas menyatakan melakukan perkara itu dengan niat ikhlas sebagai tanda sokongan kepada penghidap kanser.

Malah, dia menafikan dia telah membotakkan kepalanya.

Sebaliknya, hanya memotong pendek rambutnya sahaja.

Selepas itu, terdengar juga desas-desus yang mengatakan kerjaya Ras sebagai pembaca berita telah pun ‘digantung’ oleh pihak NTV7.

Bagaimanapun, setelah Ras muncul dengan imej barunya itu, segala cakap-cakap umum mengenai pengakhiran kerjayanya itu adalah tidak benar.

Bagi Ras pula, setiap yang berlaku ada hikmah dan dia percaya rezeki Allah S.W.T itu ada di mana-mana. – MyNewsHub

Imej Baru Ras Adiba Membaca Berita