Jahitan Luka Bersalin Terbuka

Jahitan Luka Bersalin Terbuka - SHAH ALAM : Akibat jahitan luka pembedahan bersalin tidak sempurna, seorang wanita mendakwa mengalami pendarahan teruk hingga memaksanya menjalani pembedahan kali kedua di hospital swasta.

Mangsa, Siti Hajar Bachtiar, 30, terpaksa menderita kesakitan dan mengalami pendarahan selama kirakira dua minggu sebaik dibenarkan pulangkan selepas bersalin melalui pembedahan di sebuah hospital kerajaan pada 24 Ogos lalu.

Menurutnya, dia ditahan di wad hospital itu selama dua hari dan hanya dibenarkan pulang ke rumah pada 26 Ogos namun mengalami kesakitan pada tempat luka pembedahan.

“Saya turut mengalami demam panas dan dibawa ke Klinik Komuniti Sungai Buloh dan doktor yang merawat mengesahkan luka itu akan sembuh dalam tempoh masa dua minggu dan perlu dibersihkan setiap hari berikutan jahitan pembedahan sudah terbuka 1.5 sentimeter,” katanya ketika ditemui, semalam.

Pada 4 September, mangsa mengalami pendarahan teruk hingga memaksanya dikejarkan ke sebuah hospital swasta dan disahkan mengalami kehilangan HB 8.7 gram darah.

“Keadaan saya ketika itu amat lemah dan terpaksa mendapat bekalan darah dan doktor mengesahkan jahitan pembedahan sudah terbuka dan bernanah serta perlu menjalani pembedahan segera,” katanya.

Siti Hajar berkata, pembedahan kedua di hospital swasta hanya dijalankan pada 14 September lalu selepas rawatan pembersihan dilakukan doktor.

Sementara itu bapa mangsa, Bachtiar Affendy, 60, berkata, pihaknya kecewa berikutan aduan yang dibuat tidak dihiraukan pengurusan hospital tersebut.

“Mereka janji untuk siasat tetapi sampai sekarang tidak ada apa-apa berita menyebabkan kami mengambil keputusan mahu membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya.

Susulan kejadian itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuang pada 17 September lalu. – Sinar Harian

Jahitan Luka Bersalin Terbuka