Tangan Bengkak Gara Gara Tulang Ikan

Gambar Hiasan

KEMASIK, Kemaman : “Waktu cubit ikan duri goreng untuk diletakkan dalam pinggan anak, ibu jari kanan saya tertusuk tulang. Memang sakit dan berdenyut sebelum seminggu kemudian saya ke klinik,” kata pesakit diabetes kronik, Zainiton Yahya, 38, mengimbau bermulanya episod duka dalam hidupnya.

Gara-gara tertusuk tulang ikan pada ibu jari pada 1 April lalu, sehingga kini derita yang ditanggungnya tidak berkesudahan kerana lengan dan telapak tangannya membengkak walau sudah dibedah, namun masih belum pulih sepenuhnya.

Penderitaannya kian teruk apabila luka di ibu jarinya itu menjadi benjol bernanah, sehingga lama kelamaan telapak tangan dan lengan hingga ke paras siku mulai membengkak.

Zainiton yang ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Panjang, Jalan Air Jernih, dekat sini berkata, rasa sakit dirasainya ketika lengan dan telapak tangannya membengkak, ditambah pula kulit lengannya bertukar kehitam- hitaman tidak dapat diluahkan dengan kata-kata sehingga menyebabkan dia tidak dapat berjalan.

“Selepas tertusuk tulang, saya ke klinik dan disuntik antibiotik.

“Sebulan selepas itu, sakit saya tidak juga pulih malah ibu jari mula bernanah lalu saya pergi semula ke klinik dan disuntik ubat bius,” kata ibu tiga anak ini.

Menurutnya, dalam tempoh tiga hari selepas dibius tangannya mula membengkak hingga ke paras siku.

“Selepas itu saya cuba berubat kampung tapi tidak juga berkesan sebelum pada 13 Mei lalu saya pergi ke Hospital Kemaman (HK).

“Rasa berdenyut tak mampu saya tahan hingga tidak dapat tidur malam,” katanya sambil mengesat air mata.

Sementara itu, Zainiton sudah menjalani pembedahan membuang nanah dan daging yang dijangkiti kuman pada 14 Mei lalu dan ditahan di wad selama 25 hari.

“Ketika dibedah, saya turut menerima tujuh pain darah manakala sedikit bahagian bawah serta atas permukaan lengan saya iaitu kira-kira 13 inci dihiris untuk membuang nanah dan daging,” katanya. Zainiton berkata, dia terharu kerana dalam keadaan sakit, suaminya, Wan Nozlihan Wan Mat, 38, yang bekerja sebagai buruh dan anak sentiasa di sisi, malah turut mengambil alih tugas melakukan kerja rumah termasuk memasak.

Namun, Zainiton yang mula menghidap kencing manis ketika mengandungkan anak keduanya pada 12 tahun lalu masih menanggung sakit kerana bahagian bawah lengan berdekatan urat nadi dan telapak tangan masih lagi bengkak.

Lebih membebankan, dengan pendapatan suaminya sekitar RM300 sebulan, dia perlu membeli ubat untuk mencuci luka (berharga RM40 sebotol), kain balutan luka dan jarum suntikan insulin.

Ini kerana dia diarahkan doktor supaya menyuntik insulin bagi merawat diabetes yang dihidapinya selain terpaksa menanggung kos berulang alik untuk membuat rawatan susulan di HK. – Sinar Harian

Tangan Bengkak Gara Gara Tulang Ikan